Tuesday 23 January 2018

MIC Perlu Pecat Ahli Yang Cuba Cetuskan Isu Perkauman



KENYATAAN MEDIA

UNTUK SIARAN SEGERA
23 Januari 2018

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP)

Tajuk : MIC Perlu Pecat Ahli Yang Cuba Cetuskan Isu Perkauman

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Ramesh Rao kesal ada pihak dalam MIC cuba memainkan sentimen perkauman dan mewujudkan unsur tidak sihat dalam parti dengan membuat tuduhan yang bukan-bukan dan tidak berasas.

Dalam satu kenyataan media hari ini, beliau berkata ada ahli dalam MIC yang menuduh parti lain dalam Barisan Nasional (BN) mengupah orang untuk membuat kekecohan dalam MIC dengan tujuan parti berkenaan akan bertanding di kerusi yang pada awalnya ditandingi oleh MIC.

"Saya amat kesal ada ahli yang sanggup mainkan sentimen perkauman dalam parti sehingga menuduh UMNO ada mengupah ejen untuk kucar-kacirkan MIC sekaligus untuk memudahkan UMNO ambil alih kerusi MIC.

"MIC harus pecat ahli rasis," katanya tanya menyebut nama sesiapa.

Sejak dua tiga hari lepas, ada ahli MIC di media sosial Twitter menuduh seseorang cuba melobi secara tidak sihat untuk menjadi calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N454 Hutan Melintang.

Menurut Ramesh, tindakan itu tidak boleh dibiarkan kerana semua ahli dalam parti ada tugas dan amanah untuk bertugas demi kebajikan rakyat bukannya membuat tuduhan melampau sebegitu dan tidak menamakan sesiapa seperti membuat tuduhan liar.

"Jika hendak berbakti kepada rakyat, mulakan kerja dengan bertemu rakyat dan dengar masalah mereka.

"Jangan tunggu sehingga dekat untuk pilihan raya baru hendak buat kerja, ini tidak betul," katanya.

Ramesh ketika ini begitu aktif bergerak bertemu penduduk dan mendengar masalah yang dialami mereka di kawasan Hutan Melintang yang dikuasai oleh PKR sejak dua pilihan raya umum yang lepas melalui penyandangnya S Kesavan.

Menurut beliau, walaupun ahli berkenaan tidak menyebut nama beliau, tapi ia boleh menjejaskan keadaan dalam MIC.

"Saya sudah awal-awal katakan bahawa saya sedia menyokong sesiapa sahaja calon yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan parti untuk PRU14 ini dan saya akan terus pertahankan BN serta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya bergerak di Hutan Melintang adalah kerana ia adalah tempat lahir saya dan tempas asal saya, dan saya bertemu penduduk sebagai tanggungjawab saya bukan ada niat apa-apa selain itu," kata Ramesh dalam kenyataan berkenaan.

Ramesh meminta pihak berkenaan supaya berhenti daripada terus mengapi-apikan ahli dan pemimpin MIC dan fokus kepada kerja untuk rakyat pada PRU14 ini.

"Kerusi Hutan Melintang perlu dirampas semula oleh BN untuk memastikan parti terus kukuh, perkara seperti ini tidak akan membawa apa-apa kebaikan tetapi ia akan membuatkan masalah dalaman MIC terus berlarutan," katanya.

Ramesh Rao Krishnan Naidu
Presiden PMSP
N54
Hutan Melintang

No comments:

Post a Comment