Thursday 24 May 2018

Lim Guan Eng Dicabar Buat Laporan Polis Jika Dapati Arul Kanda Menipu



Kenyataan Media
Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin

24 Mei 2018

Kuala Lumpur

(UNTUK SIARAN SEGERA)

Tajuk : Lim Guan Eng Dicabar Buat Laporan Polis Jika Arul Kanda Menipu

Saya mengikuti rapat cara pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya ahli Kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Saya suka memberikan perhatian kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang sudah diketahui seluruh negara sedang dibicarakan atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa tetapi dilantik sebagai Menteri Kewangan.

Semalam, beliau ada mengeluarkan kenyataan media berkaitan kenyataan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang mengadakan pertemuan dengan beliau menerangkan beberapa perkara berkaitan urusan dan pelan rasionalisasi 1MDB.

Dalam kenyataan Guan Eng, beliau berkata bahawa Arul Kanda telah menipu rakyat dengan membuat kenyataan yang tidak benar berkaitan 1MDB ketika pertemuan itu.

"Arul Kanda pula mendakwa semua hal kewangan 1MDB sudah diuruskan dengan ketat oleh CFO syarikat dan beliau sememangnya tidak pasti mengenai berapa nilai pelaburan itu atau sama ada ia wujud atau tidak.

"Adalah amat tidak munasabah untuk seseorang yang dibayar mahal dan seorang ahli bank pelaburan berpengalaman boleh tidak tahu sama ada pelaburan bernilai RM9.8 bilion ini wujud atau tidak.

"Maklum balas diberikan Arul ini amat mengejutkan dan tidak masuk akal kerana sebelum perubahan kerajaan, beliau sudah menjelajah ke seluruh negara berceramah mengenai keupayaan kewangan 1MDB dan keberkesanan pelaburan ini," kata, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Oleh itu, saya mencabar dan mahu Guan Eng membuat laporan polis ke atas Arul Kanda yang didakwa oleh bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menipu dalam isu 1MDB. Membuat laporan polis jika ada satu perkara yang dianggap satu kesalahan adalah satu tindakan yang betul mengikut undang-undang bukannya membuat pelbagai dakwaan dalam sidang media.

Semua perkara yang didakwa oleh kerajaan Pakatan Harapan sekarang berkaitan kerajaan BN adalah persepsi dan ia perlu diselesaikan dengan siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa negara ini. Jangan jadikan negara ini medan peperangan tuduhan dan kenyataan media yang memberikan gambaran negatif kepada seseorang.

Saya menghormati kenyataan media Arul Kanda yang berpendapat Guan Eng tidak adil dalam bertanyakan banyak soalan kepadanya dalam pertemuan itu dengan beliau terpaksa menjawab tanpa membawa bersama dokumen sokongan dalam pertemuan itu.

Oleh itu, saya harap Guan Eng akan buat laporan polis ke atas Arul Kanda dan biar pihak berkuasa menyiasat perkara ini

Ramesh Rao Krishnan Naidu
Presiden PMSP