Wednesday 29 August 2018

Dr Wan Azizah Perlu Letak Jawatan Sebagai Timbalan Perdana Menteri



KENYATAAN MEDIA

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP)

Tajuk : Dr Wan Azizah Perlu Letak Jawatan Timbalan Perdana Menteri Kerana Sudah Tidak Ada Jawatan Dalam Parti

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu meletakkan jawatannya dalam kabinet kerana kini beliau sudah tidak akan lagi memegang jawatan Presiden PKR berikutan tidak mempertahankan jawatan itu dan memberikan laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding.

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP) Ramesh Rao dalam satu kenyataan media hari ini berkata beliau perlu meletakkan jawatan kerana untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri, seseorang Ahli Parlimen itu lebih elok memegang jawatan tinggi dalam partinya supaya kredibiliti sebagai orang nombor dua di belakang Perdana Menteri dilihat kukuh dan tidak lemah.

Beliau menyifatkan pada ketika ini, kalau diikutkan Dr Wan Azizah hanyalah seorang Ahli Parlimen biasa dan ahli biasa dalam parti selepas mengumumkan tidak bertanding pada pemilihan PKR yang akan berlangsung pada 14 September hingga 13 Oktober depan.

"Walaupun pemilihan masih belum diadakan, lebih baik Dr Wan Azizah mengumumkan peletakan jawatannya pada masa ini dan akan berkuatkuasa selepas pemilihan selesai.

"Langkah itu akan memastikan peralihan kuasa yang elok dalam parti dan juga dalam Kabinet. Kalau masih dilihat beliau seperti bertangguh-tangguh, ia akan lebih menampakkan beliau masih mahu berkuasa," katanya dalam kenyataan itu.

Menurut Ramesh, jika beliau enggan, keluarga Anwar sudah terbukti nyata mengamalkan nepotisme dalam politik apabila kesemua anak beranak dan ibu bapa mereka sendiri, semuanya jadi Ahli Parlimen.

Selain itu, ada perjanjian dalam Pakatan Harapan (PH) melalui satu konsensus pada 6 Januari lepas bahawa selepas PH berjaya membentuk kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi Perdana Menteri untuk sementara dan selepas Anwar dibebaskan dan jadi Ahli Parlimen, Dr Mahathir perlu berundur dan menyerahkan jawatan itu kepada beliau, menurut Ramesh.

"Beliau perlu ikut apa yang sudah diputuskan antara parti dalam kerajaan PH, jangan mempermainkan rakyat dengan melakukan suka hati ke atas janji yang dilafazkan mereka di dalam manifesto," katanya.

Ramesh berkata peletakan jawatan Dr Wan Azizah akan membuktikan beliau ada integriti yang tinggi dalam politik serta tidak mengutamakan keluarga dalam politik.

Menurut beliau, sebagai Perdana Menteri, Dr Mahathir biasanya mahu Timbalannya adalah seorang yang mempunyai jawatan tinggi dalam parti sekurangnya orang nombor dua dalam parti bukannya ahli biasa.

"Ketika dalam Barisan Nasional (BN) Timbalan Perdana Menteri di belakang Mahathir ialah Timbalan Presiden UMNO dan orang itu akan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi BN. Jika pada kali ini, Dr Mahathir menerima seorang Timbalan yang tidak ada jawatan langsung dalam parti nampaknya seperti ada benda yang cuba disorokkan oleh beliau.

"Kita bimbang ada perbalahan kerana ada desas desus bahawa Dr Mahathir tidak akan memberikan laluan kepada Anwar untuk jadi Perdana Menteri, jika ada konflik Kabinet tidak akan stabil dan pentadbiran kerajaan akan goyah," kata Ramesh.

Pada pemilihan PKR kali ini, Dr Wan Azizah membuat keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden PKR dan memberi laluan kepada Anwar yang akan diisytiharkan sebagai Presiden selepas disahkan menang tanpa bertanding.

Anwar menang ekoran tidak ada orang lain yang turut menghantar pencalonan untuk bertanding jawatan tertinggi dalam PKR itu.

Ramesh Rao Krishnan Naidu
Pengarah Strategik PAP
30 Ogos 2018