Wednesday 18 July 2018

Pemimpin dan Penyokong Pakatan Harapan Perlu Mohon Maaf Kepada Najib Dan Keluarga



Semua pihak yang menyalahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyalahgunakan kuasa dengan rasuah berkaitan kes syarikat SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu memohon maaf kepada beliau dan keluarga selepas akaunnya tidak lagi dibekukan kerana tidak ada kaitan dengan siasatan.

Pengarah Strategik Parti Alternatif Rakyat (PAP) Ramesh Rao dalam satu kenyataan hari ini berkata pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah memaklumkan bahawa pihak mereka mendapati akaun peribadi Najib tidak ada kaitan dengan siasatan berkenaan.

"Walaupun kes ini sudah dituduh di mahkamah, SPRM sendiri sudah menyatakan bahawa akaun peribadi milik beliau tidak ada kaitan dengan siasatan, jadi pihak yang buat tuduhan macam-macam perlu minta maaf kepada Najib dan keluarga.

"Keluarga bekas Perdana Menteri itu sudah menanggung macam-macam fitnah bermula dari kes 1MDB dan macam-macam lagi.

"Walaupun sudah dibuktikan tidak ada kaitan tidak ada pihak yang tampil memohon maaf walaupun sudah menuduh dan memfitnah beliau sebelum ini," kata Ramesh.

Ramesh menambah, dalam satu kenyataan oleh SPRM semalam, agensi itu menegaskan langkah menarik balik pembekuan akaun bank Najib dilakukan bukan disebabkan oleh desakan mana-mana pihak sebaliknya kerana siasatan sudah selesai.

Selain orang ramai, pemimpin kerajaan Pakatan Harapan juga perlu mohon maaf kepada Najib selepas akaun bank peribadinya terbukti tidak ada kaitan dengan kes berkenaan.

"Jangan berdiam diri sahaja, buktikan anda pemimpin dalam kerajaan yang ada integriti. Dalam ceramah, anda burukkan Najib dan tuduh yang bukan-bukan sehingga hari ini siasatan terbukti menyatakan akaun peribadi beliau (Najib) tidak ada kaitan dengan siasatan.

"Buat kenyataan permohonan maaf secara terbuka dan bersihkan nama bekas Perdana Menteri," kata Ramesh.

Kes berkaitan SRC International kini sudah di peringkat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Najib dituduh baru-baru ini atas dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa oleh SPRM.

Ada laporan bahawa Peguam Negara, Tommy Thomas tidak bersedia dengan dokumen pendakwaan untuk diserahkan kepada pasukan pembelaan yang diketuai oleh Peguam Kanan, Tan Sri Shafee Abdullah ketika proses pertuduhan dilakukan ke atas Najib.

Tindakan membekukan akaun Najib dikecam banyak pihak kerana akaun peribadi berkenaan digunakan oleh Najib untuk menerima gaji sebagai Ahli Parlimen Pekan dan pencen sebagai bekas Menteri Besar Pahang.

Langkah itu turut menjejaskan seorang anak perempuan Najib yang dikatakan menghidap kanser kerana akaun anaknya itu turut dibekukan.

No comments:

Post a Comment