Monday 9 April 2018

#HutanMelintang : Ramesh Rao Gempur Kubu Kuat PKR Satu Demi Satu



Selepas beberapa lokasi yang dianggap kubu kuat PKR di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang berjaya dimasuki oleh Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) yang pro-Barisan Nasional (BN), badan bukan kerajaan itu terus bergerak di sekitar kawasan berkenaan membantu penduduk tidak mengira latar belakang.

Presiden PMSP Ramesh Rao sebelum ini sudah menghadiri program di kuil yang berada di kawasan estet Jendarata 1, 2 dan 3. Baru-baru ini pada Jumaat lepas, satu lagi kawasan yang dimomokkan sebagai simpanan tetap PKR di Hutan Melintang digempur Ramesh iaitu Pusat Daerah Mengundi (PDM) Jalan Ferry.

Beliau bertemu penduduk dan mendengar masalah yang mereka hadapi sepanjang dua penggal diwakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, S Kesavan dan berjanji akan mencari jalan penyelesaian untuk mereka di kawasan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ramesh berkata program berkenaan adalah tanggungjawab beliau sebagai anak jati di kawasan DUN berkenaan.

"Kita perlu bersama-sama dengan penduduk di Hutan Melintang kerana sudah hampir 9 tahun mereka diabaikan di bawah wakil rakyat PKR yang tidak buat kerja dengan sebaiknya di sini.

"Tidak kira kubu kuat atau kawasan yang dipanggil simpanan tetap PKR di sini, jika ada kumpulan rakyat yang memerlukan, kami yang sentiasa menyokong BN akan hadir dan menggempur kawasan berkenaan bertemu dengan rakyat," katanya.

Sabtu lepas, Ramesh mengadakan satu program bersama masyarakat Telegu di Hutan Melintang. Dalam program berkenaan beliau memberikan penjelasan tentang isu-isu semasa khususnya fitnah yang melampau dari Pakatan Harapan (PH) ke atas BN. Ramesh juga meyakinkan penduduk bahawa kerajaan BN memandang serius dan komited dalam menyelesaikan masalah rakyat.





Beliau dan pihak PMSP turut mmeberikan sumbangan berbentuk barangan keperluan seperti beras, gula, teh, susu, sardin dan mee segera kepada 100 orang dari golongan ibu tunggal, keluarga daif dan Orang Kelainan Upaya (OKU). Kira-kira 250 orang penduduk Hutan Melintang hadir pada program berkenaan di Dewan Telegu, Simpang Empat.

Ramesh berkata, tempoh dua penggal yang sudah disia-siakan oleh Kesavan dari PKR sudah cukup dan Ramesh tidak sanggup untuk melihat penduduk Hutan Melintang terus terabai.

"Dalam penjelasan saya kepada penduduk, saya menjelaskan kepada mereka tentang komitmen BN terutamanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif khusus untuk masa depan rakyat yang lebih baik," katanya.

Sudah sampai masanya, beliau dan BN bekerja bersungguh-sungguh di kawasan DUN berkenaan untuk menewaskan PKR pada PRU14 nanti seterusnya berbakti kepada penduduk di situ dengan lebih baik dan bertanggungjawab.

No comments:

Post a Comment